KUALA LUMPUR, 18 DISEMBER 2011: Nampaknya lensa kamera yang ada ketika majlis persandingan juri MasterChef Malaysia, Chef Riz bersama pelakon Ana Dahlia di Felda Sungai Koyan, Pahang di sini petang tadi bukan saja sibuk merakamkan detik bahagia dua sejoli itu, malah turut tertumpu kepada pelakon dan penyanyi popular Betty Banafe.
Manakan tidak, susuk tubuh jelita itu tidak keseorangan sebaliknya ditemani seorang jejaka Mat Salleh segak berjambang yang nyata telah menarik perhatian ramai untuk merakamkan gelagat mereka berdua.
Malah cukup sukar untuk melihat jejaka kacukan Britain dan Lubnan yang dikenali dengan panggilan Bruce itu, berenggang dengan artis berkenaan. Di mana ada Betty Banafe, di situlah ada Bruce.
Di ruang menunggu, di meja makan, malah sehingga ke dapur rumah pengantin, Betty Banafe dan Bruce tidak dapat berenggang. Ada saja bicara yang diperbualkan mereka berdua dengan penuh teliti dan tekun didengari Bruce.
Untuk itu, portal murai.com.my yang turut diundang hadir ke majlis berkenaan, tidak ketinggalan merakamkan foto mereka berdua dan sempat mendekati kedua-duanya untuk bertanyakan hubungan antara mereka.
Betty yang hanya tersipu malu seakan enggan berkongsi lebih mendalam, bagaimanapun tidak keberatan memperkenalkan Bruce yang baju saja bermastautin di ibu negara sejak beberapa bulan yang lalu.
"Dia adalah teman saya dan saya sengaja bawa dia ke sini untuk melihat sendiri bagaimana suasana perkahwinan cara kampung masyarakat Melayu. Kerana sebelum ini saya pernah bawanya ke satu lagi majlis perkahwinan Melayu yang sama sekali berbeza konsepnya.
"Biarlah dia lihat dan alami sendiri bagaimana majlis perkahwinan cara orang kita. Saya gembira kerana dapat membawanya bersama dan memperkenalkan dia kepada budaya kita," katanya yang tersipu malu sepertinya berat mulut untuk membuka cerita.
Sementara itu, Bruce seorang jejaka ramah yang bekerja dalam sektor teknologi informasi dan juga bidang muzik turut mengakui sangat senang apabila menerima undangan Betty untuk menghadiri majlis berkenaan sebagai satu cara mengenali budaya masyarakat di negara ini.
Bagaimanapun ketika ditanya, adakah mungkin dapat menggunakan pengalamannya itu untuk majlis perkahwinannya pada masa akan datang, Bruce hanya tersenyum malu.
"Memang satu pengalaman yang menyeronokan bila dapat melihat orang yang begitu ramai di majlis ini. Sama sekali berbeza seperti mana majlis persandingan yang saya pergi sebelum ini, kerana yang dulu di buat di dalam dewan dan banyak pula protokolnya.
"Tapi yang kali ini ianya berbeza sama sekali. Saya jadi seronok dan paling saya suka ialah bila dapat menikmati makanannya yang lazat terutama kurma daging," katanya yang turut mencuba tarian joget lambak bersama-sama tuan rumah dan orang kampung yang lain.
Meskipun baru beberapa bulan tinggal di sini, namun Bruce nampaknya sudah pandai menyebut beberapa sebutan Bahasa Melayu termasuk hidangan tempatan yang menjadi kegemarannya.
"Betty memang banyak mengajar saya bahasa Melayu dan juga mengajak saya makan makanan Melayu. Saya sangat Ayam Masak Pedas. Rasanya berat badan saya akan naik jika saya tinggal di sini lebih lama," katanya dengan nada senda.
No comments:
Post a Comment