KUALA LUMPUR, 18 DISEMBER 2011: Kisah percintaan aktres jelita Fasha Sandha dan Jejai bukan lagi rahsia. Malah baru-baru ini, gambar Fasha Sandha memakai gaun pengantin turut tersebar di laman sosial yang sekaligus mencetuskan khabar angin yang mengatakan Fasha Sandha bakal mengakhiri zaman solonya.
Ada yang menyatakan awal tahun depan bakal berlangsung majlis indah antara Fasha Sandha dan buah hatinya itu.
Ditemui pada majlis pelancaran filem Penanggal, sambil tersenyum manis, Fasha Sandha, menafikan khabar angin tersebut namun mengakui bakal memberitahu kepada umum tarikh perkahwinannya apabila tiba waktu.
"Kalau awal tahun depan memang tidak akan berlaku apa-apa majlis seperti yang dikhabarkan kerana bulan Februari sahaja, saya sibuk dengan pengambaran drama Seindah Sakura dan akan berada di Paris. Apa yang boleh saya katakan kini apabila sampai masanya akan saya beritahu kepada umum berita baik itu dan tidak akan merahsiakannya.
"Bukan tidak mahu memberitahu pada masa ini, cuma kita tidak tahu apa akan jadi masa depan. Apabila hampir tiba masanya akan saya beritahu kepada semua. Jadi saya berharap doakanlah agar kebahagiaan berpihak kepada saya. Insyaallah akan tiba masanya," katanya membuka bicara mengenai perkahwinannya.
Mengakui telah pun bersedia bergelar isteri, kata pelakon berusia 27 tahun ini, perkahwinannya kelak, seboleh mungkin dia tidak mahu ditaja oleh mana-mana pihak seperti mana sesetengah artis sebelum ini.
Sebaliknya dia lebih selesa agar menggunakan keringat sendiri dan redha membiarkan majlis berkenaan diadakan dalam keadaan sederhana.
"Tidak perlulah ditaja dan sebagainya. Saya lebih selesa menggunakan duit sendiri dan majlis yang diadakan itu nanti biarlah sederhana,"jelasnya yang tidak mahu bertunang sebaliknya mahu terus bernikah dan bersanding.
Malah kata anak kelahiran Johor Bahru itu lagi, selepas mendirikan rumahtangga, dia bakal mengurangkan aktiviti seninya dan mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga dan perniagaannya.
"Saya akan mengurangkan aktiviti seni selepas berkahwin dan itu merupakan keputusan saya sendiri. Saya mahu menjaga rumahtangga dan keluarga saya. Di samping itu, saya akan memberikan tumpuan kepada perniagaan salun saya dan berharap akan dapat membuka cawangan di lokasi lain pula,"ucapnya.
No comments:
Post a Comment