Saturday 10 December 2011

Apex Elak Cerita Negatif Ketika Berada di Australia


KUALA LUMPUR, 9 DISEMBER 2011: Kesedihan masih lagi menyelubungi penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apex, 22, diatas pemergian adik kesayangan, Mohd Amirul Izat pada 5 Disember lalu. Namun, tanggungjawab kepada negara tetap diredah demi menjaga nama baik tanahair tercinta.






Sebelum berangkat ke Sydney, Australia pada awal pagi esok bersama pasukan Harimau Muda, Apex sempat meluangkan masa seketika untuk menyampaikan hasrat hatinya kepada pembaca portal murai.com.my terutama sekali penyokong yang tidak jemu mengambil berat terhadap dirinya.
Di kesempatan ini juga, Apex memberitahu portal murai.com.my, pesanan arwah adiknya yang mahu dia terus berjaya dalam arena bola sepak. Pesanan ini disampaikan arwah yang dilaporkan sakit kerana kuman merebak dalam kepala sebelum menutup mata buat selamanya.
Jom ikuti pesanan Apex tatkala dia sedang bersiap-siap untuk berangkat menghadapi medan perjuangan untuk menentang tiga kelab dari Australia.
"Syukur Alhamdulillah. Ketika ini, saya sudah kembali seperti sedia kala walaupun masih terasa lagi kehilangan adik. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada rakyat Malaysia yang mendoakan kesejahteraan saya sekeluarga.

"Saya tidak mampu membalas segala doa dari anda semua. Apa yang boleh saya lakukan hanyalah dengan terus tabahkan hati dan berjuang untuk menaikan nama negara. Insya-Allah, saya akan pegang segala nasihat yang anda telah berikan.

"Hari ini, saya akan berangkat ke Sydney, Australia. Mengikut jadual, saya akan berada di sana selama dua minggu. Saya ke sana untuk menjalani sesi latihan dan perlawanan bersama kelab-kelab di sana.

"Doakanlah kami sepasukan berjaya dan boleh membawa pulang nama baik untuk negara. Saya berharap, sepanjang tempoh saya tiada di Malaysia, tiada unsur cerita negatif yang melibatkan saya lagi. Terutama sekali kisah peribadi.

"Berikanlah ruang untuk saya fokus dengan lebih mendalam. Saya bukannya marah tetapi saya tahu setiap apa yang berlaku ini menunjukan anda semua prihatin terhadap diri saya. Saya terima segalanya dan saya tahu ianya akan mematangkan saya untuk bergerak lebih jauh lagi dengan lebih berhati-hati lagi.

"Saya hanya mampu merancang tetapi Allah lebih tahu apa yang akan berlaku. Sekali lagi, saya memohon maaf seandainya sebelum ini saya banyak menyinggung hati sesiapa saja sama ada disedari atau pun tidak. Kalau boleh, saya mahu kita semua gembira dengan kejayaan saya bersama rakan sepasukan.

"Doakanlah kami berjaya dan sentiasa dalam keadaan sihat walafiat. Saya sanggup berkorban demi negara dan saya tahu anda juga sanggup berkorban jika berada di tempat saya. Teruslah menyokong saya kerana saya hanyalah manusia biasa," katanya.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...