Tuesday, 22 November 2011

Mizz Nina sebagai artis pembukaan Konsert Pittbull Live in Malaysia


     PENYANYI Mizz Nina kerap dipilih sebagai artis pembukaan konsert antarabangsa di Malaysia dan terbaru dia bakal membuka tirai konsert penyanyi rap Pitbull yang popular dengan lagu Give Me Everything pada 1 Disember depan di Konsert Pitbull Live in Malaysia di Surf Beach, Sunway Lagoon.








Menyifatkan pemilihannya sebagai satu tuah kerana dia sendiri merupakan peminat kepada penyanyi itu dan memasang angan-angan untuk berduet dengannya suatu hari nanti.
“Saya memang merupakan peminat Pittbull, bila dengar dia akan buat konsert di Kuala Lumpur, saya memang teruja, dan apabila ditawarkan untuk jadi artis pembukaan konsertnya saya memang bersyukur dan tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran daripada penganjur.
“Sebenarnya sebelum ini saya ada terfikir untuk berkolaborasi bersama Pitbull nampaknya belum ada peluang, mungkin selepas konsert ini peluang kami untuk bekerjasama lebih cerah. Dalam konsert itu saya akan menyanyikan tiga buah lagu termasuk sebuah lagu baharu saya,” ujarnya yang ditemui pada sesi sidang media konsert Pittbull Live in Malaysia.
Mizz Nina yang sedang hangat dengan lagu Take Over bersama Flo Rida, kini sibuk melakukan persiapan dan mengumpul material untuk album keduanya. Dia juga sedang mencari penyanyi tempatan yang sesuai untuk berkolaborasi bersama.
“Sekarang ini saya sedang mencari artis tempatan untuk berkolaborasi bersama untuk album kedua, setakat ini belum ada lagi yang bersetuju tetapi di fikiran saya antara nama yang ingin sangat saya bekerjasama adalah Datuk Sheila Majid.
“Saya juga ada terfikir untuk bekerjasama dengan penyanyi dari Taiwan kerana itu salah satu cara untuk saya kembangkan kerjaya saya ke sana. Apabila saya ada satu lagu single dalam bahasa Mandarin, mereka mungkin akan kenal saya dan mencari lagu-lagu saya sebelum itu,” balas Mizz Nina yang merupakan isteri kepada vokalis Hujan, Noh.
Mizz Nina yang sebelum ini pernah menjadi artis pembuka tirai untuk konsert penyanyi Bruno Mars dan Justin Bieber turut memasang impian untuk mengadakan konsert sendiri selepas kerap diundang untuk konsert penyanyi lain.
“Impian saya untuk mengadakan konsert khas buat peminat pada tahun depan. Konsert itu akan dilakukan dalam skala kecil. Mungkin saya akan menjemput beberapa penyanyi undangan untuk konsert itu.
“Setakat ini belum ada kata putus mengenainya, cuma konsert itu akan berlaku pada tahun hadapan. Saya memang tidak sabar kerana tanyalah pada mana-mana penyanyi pun, mereka semua mengidamkan untuk mengadakan konsert sendiri, begitu juga dengan saya,” tutur Nina.
Selain sibuk dengan album serta perancangan konsert, Mizz Nina juga ada jenama pakaiannya sendiri iaitu Mizz Demeanor yang dijual secara talian di laman sesawang Mizz Demeanor.com.
“Saya seorang peminat fesyen, saya kerap ditanya peminat mereka ingin pakaian seperti saya, jadi saya keluarkan fesyen yang menggambarkan fesyen Mizz Nina. Harganya juga tidak mahal bermula daripada RM50 sehinggalah ke RM150,” beritahunya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif JS Concert, Susan Tan selaku penganjur konsert, berkata, pemilihan Mizz Nina sebagai penyanyi pembukaan konsert tersebut adalah tepat dan bersesuaian.
“Bagi saya, tiada lagi penyanyi tempatan lain pada waktu ini yang lebih baik selain Mizz Nina. Lagipun, genre muzik mereka yang rancak dan bertenaga itu sangat bersesuaian antara satu sama lain,” jawabnya.
Selain Mizz Nina, konsert Pitbull Live in Malaysia yang dibawakan oleh JS Concert dan DiGi itu turut menampilkan DJ Joe Maz dan DJ Big Shype.
Buat peminat yang ingin menonton konsert itu jangan lupa dapatkan tiket-tiket berharga RM138 (tiket biasa), RM198 (party zone), RM298 (mosh pit) dan RM398 (tempat duduk VIP) yang kini boleh didapati menerusi laman web www.ticketpro.com.my, kedai muzik Victoria Muzik, The Guitar Store, rangkaian Rock Corner atau hubungi talian 03-7880 7999.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...