Monday, 28 November 2011

Selamat Tinggal Juliana Evans



NAMA Juliana Evans dalam dunia lakonan semakin menjadi sebutan. Tidak kiralah lakonannya bagus atau sebaliknya, tetapi dia menjadi antara pelakon yang sering mendapat perhatian daripada pengarah dan penerbit filem atau drama.

 

Menerusi setiap peluang yang diterimanya, ternyata Juliana tidak ada masalah untuk terus menajamkan bakat lakonannya. Tambahan pula usianya masih muda, iaitu 22 tahun.


Bagaimanapun, ketika orang lain sepertinya gigih untuk mendaki ke puncak kegemilangan, Juliana pula mungkin membuat keputusan yang agak mengejutkan kerana mahu berhenti berlakon dan berhijrah ke luar negara.


Alasannya, mahu menyambung pelajaran di luar negara. Itu adalah keputusan yang tulus daripada hatinya. Bukan kerana merajuk, kecewa atau didesak oleh mana-mana pihak. 



“Saya mengambil keputusan untuk berhenti berlakon dan berhijrah ke luar negara adalah atas tujuan untuk menyambung pengajian. Insya-Allah, jika tiada aral melintang, saya melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Michigan, Amerika Syarikat, Januari depan. 



“Tinggal lagi sebulan lebih saja lagi untuk saya untuk membuat persiapan termasuk visa dan sebagainya. Disebabkan itulah saya terpaksa menolak pelbagai tawaran berlakon kerana mahu fokus terhadap semua persediaan ke sana. 



“Mail Lambung adalah filem terakhir lakonan saya sebelum ke Amerika Syarikat,” katanya. 
Juliana atau nama penuhnya Juliana Sophie Johari Evans ini berkata, faktor usia yang semakin meningkat menyebabkan dia tidak mempunyai masa untuk menangguhkan pengajiannya sehingga ke peringkat tertinggi. 



“Usia semakin tahun semakin meningkat. Sepatutnya pada usia 22 tahun saya menggenggam ijazah. Sebab itulah saya tidak mahu bertangguh lagi. 



“Keputusan untuk berhenti berlakon bukan dibuat atas desakan keluarga atau sesiapa. Saya memilihnya sendiri. Kalau saya terus bertangguh hanya nak seronok berlakon, sampai bila-bila pun impian saya untuk mendapat ijazah tidak tercapai,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Mail Lambung arahan terbaru Ahmad Idham yang diadakan di Pusat Sains Negara, Bukit Kiara, baru-baru ini. 



Juliana adalah penuntut program ijazah berkembar dalam jurusan komunikasi di sebuah kolej di Sunway, Subang Jaya. 



Ditanya tidakkah perkara itu merugikan dirinya kerana terpaksa bersara ketika nama sedang memuncak, Juliana berkata dia tidak risau kerana ia hanyalah bersifat sementara saja. 



“Saya berada di sana pun mungkin dalam jangka masa dua tahun. Dan dalam tempoh itu, saya juga akan mengambil kursus jangka pendek dalam bidang lakonan ataupun di belakang tabir. Semua ilmu itu akan dicurahkan apabila habis belajar nanti,” katanya. 



Sementara itu, Juliana hadir lokasi dengan tangan sebelah kanannya dibalut dengan anduh, sekali gus menimbulkan pertanyaan apakah Juliana tercedera ketika berlakon dalam filem itu. 



Apatah lagi sewaktu temu bual, dia berkata, kebanyakan babak aksi dalam filem bergenre komedi aksi itu hampir kesemuanya dilakonkan sendiri tanpa menggunakan pelakon stand in. 



“Dalam filem ini saya memegang watak sebagai perisik yang terbabit dengan pergelutan bersama penjahat. Kecederaan di tangan kanan saya ini bukanlah kecederaan sebenar. 



“Sebaliknya ia adalah antara babak sewaktu saya terkena tembakan. Berpeluang berlakon dengan mereka yang pernah bekerjasama dengan saya sewaktu filem Hantu Bonceng memang menyeronokkan,” cerita Juliana yang melakonkan watak sebagai Maria. 



Apabila dia kembali bergandingan dengan Zizan dalam filem ini, pastinya cerita kisah cinta mereka akan kembali dibangkitkan dan diperkatakan peminat dan secara tidak langsung akan membangkitkan semua nostalgia yang pernah dilalui mereka. 
“Saya sedar perkara itu pasti akan berlaku. Bagaimanapun sekali lagi saya menegaskan, kami berdua lebih selesa berkawan. 



“Saya pun tidak mahu mempunyai apa-apa hubungan dengan sesiapapun memandangkan saya akan ke luar negara demi melanjutkan pelajaran. Jadi rasanya tidak sesuai untuk saya bercinta. Lagi pun, saya tidak percaya dengan cinta jarak jauh,” katanya yang mengaku masih solo ini. 


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...