SETIAP kali pengarah ini muncul dengan filem terbaru, ia pasti akan meraih perhatian yang cukup meluas.
Tidak keterlaluan dikatakan,Bernard Chauly antara pembikin filem tempatan yang sering tampil idea baharu dan segar.
Selain itu, salah satu faktor utama yang sering menjadi perhatian apabila memperkatakan tentang Bernard adalah barisan pelakon yang dipilih membintangi filem-filemnya.
Antara nama yang cukup sinonim dengan Bernard ialah Nur Fazura Sharifuddin atau lebih dikenali sebagai Fazura yang mula diperkenalkan dalam filem cereka pertama arahan Bernard, Gol & Gincu pada tahun 2005.
Kemudian, Fazura sekali lagi menjadi pilihan pengarah itu untuk membintangi Pisau Cukur pada tahun 2009 sehingga melayakkan pelakon jelita itu menjulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Filem Terbaik Anugerah Skrin 2010.
Namun, apabila Bernard mengarahkan filem ketiganya,Istanbul, Aku Datang! (IAD) tanpa Fazura sebagai bintang utamanya, ada segelintir pihak yang mula membuat andaian yang bukan-bukan.
Walhal di awal perancangan untuk projek itu, sememangnya nama Fazura menjadi pilihan pertama dan dikhabarkan juga pelakon itu bersedia untuk membintangi IAD.
Malangnya, di saat-saat akhir, Fazura dikatakan menarik diri atas sebab-sebab peribadi. Lalu watak Dian dalam filem itu berpindah milik kepada Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23, Lisa Surihani.
"Saya harus akui watak Dian memang saya ciptakan khas untuk Fazura. Apatah lagi, dia sudah membintangi dua buah filem bersama saya dan kami mempunyai hubungan yang sangat akrab.
"Kerjasama kami akan menjadi lebih manis seandainya Fazura membintangi IAD kerana saya berjaya mencipta trilogi untuk Fazura dan diri saya sendiri.
"Tetapi, saya akur dan percaya dengan kehendak takdir bahawa kali ini bukan rezeki saya untuk bekerjasama dengan Fazura. Apa sahaja keputusan yang dilakukan oleh Fazura saya amat menghormatinya.
"Mungkin siapa tahu di masa hadapan, saya dan Fazura akan kembali bersatu dalam mana-mana filem," jelas Bernard dalam nada yang cukup optimis tanpa sekelumit rasa kecewa dalam butir bicaranya.
Kejayaan
Pengarah berdarah kacukan Sikh dan Cina itu berkata demikian sewaktu ditemui pada majlis tamat penggambaran filem IAD di Kota Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir penerbit eksekutif dan penulis skrip IAD, Lina Tan dan Rafidah Abdullah serta barisan pelakon filem yang diterbitkan oleh Red Films dengan kerjasama Primeworks Studios itu.
Meskipun tidak mendapat sentuhan bintang kesayangannya untuk IAD, namun bagi pengarah kelahiran Taiping, Perak itu dia cukup berpuas hati dan berbangga dengan lakonan Lisa dalam filem tersebut.
Mungkin ramai yang tidak tahu, Lisa juga merupakan antara bintang yang dicungkil bakatnya oleh Bernard sewaktu membintangi siri 3R dan sebuah lagi filem arahan Bernard, Goodbye Boys.
Namun, ketika itu kata Bernard, watak Lisa hanyalah kecil. Apabila berpeluang bekerja dengan Lisa kembali, dia dapat melihat perubahan serta kematangan aktres popular itu.
"Lisa berjaya membawakan watak Dian dengan gaya dan caranya tersendiri. Walaupun dia tahu watak itu untuk Fazura tetapi, dia sedikit pun tidak terpengaruh sebaliknya berusaha untuk mencipta Dian dalam acuannya sendiri.
"Setiap kali saya mencipta sesuatu watak itu saya mengharapkan pelakon yang membawakannya mendapat sesuatu yang positif daripadanya.
"Fazura misalnya pernah memberitahu saya watak Putri dan Intan yang dibawakannya dalam filem Gol & Gincu dan Pisau Cukur telah banyak mematangkan dirinya sebagai seorang individu.
"Begitu juga dengan Lisa yang menyatakan kepada saya bahawa watak Dian itu telah banyak membuka matanya tentang dunia sekelilingnya. Jika itu yang dirasakan oleh setiap pelakon, ia adalah satu kejayaan buat saya," jelas Bernard yang merupakan graduan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dalam jurusan komunikasi ini lagi.
Cabaran
Selain Lisa, IAD turut dibintangi oleh aktor muda yang semakin meningkat naik, Beto Kusyairyselain juara One In A Million musim ketiga, Shah Indrawan Ismail atau Tomok dan penyanyi serta komposer muda popular, Aizat Amdan.
Mengulas lanjut tentang IAD yang menelan kos sebanyak RM1.7 juta itu lagi, Bernard tidak menafikan ia adalah filem yang paling mencabar untuknya sepanjang bergelar pengarah.
Mana tidaknya. Hampir 90 peratus penggambaran filem bercorak komedi romantik ini dijalankan di Istanbul, Turki pada Oktober lalu.
Malah, Bernard juga menjelaskan rintangan dan cabaran yang perlu ditempuhinya bukan kecil-kecil anak.
"Masalah utama kami sudah tentu dari aspek komunikasi kerana sebahagian besar mereka tidak fasih berbahasa Inggeris. Bukan itu sahaja, cuaca dan juga keadaan lalu lintas di sana yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada penggambaran.
"Di sebalik masalah itu semua, kami semua berbangga kerana dapat menghabiskan penggambaran ini hampir sebulan dan dalam lingkungan bajet yang telah ditetapkan (ketawa).
"Memang seronok apabila berpeluang menjalani penggambaran di luar negara kerana ia memberi pengalaman baru bukan hanya untuk saya tetapi juga kepada semua pihak yang terlibat," jelas pemilik nama penuh Bernard Surinder Chauly Junior itu yang telah melawat Istanbul sebanyak empat kali dalam tahun ini untuk mencari lokasi terbaik sebelum memulakan penggambaran.
No comments:
Post a Comment