Wednesday, 23 November 2011

"Perjuangan" Apex belum berakhir?






"Apabila saya dipilih sebagai pemain bola sepak negara, ia adalah mimpi saya yang menjadi kenyaatan. Saya rasa, situasi ini bukan hanya tersurat pada diri saya saja, tetapi saya yakin ia merupakan impian kepada sesiapa saja yang bergiat dalam bidang sukan. Tidak kiralah sukan menembak, olahraga, badminton dan macam-macam lagi.
"Ternyata, selepas saya diberi landasan baik ini, saya perlu sedar bahawa ia bukannya satu perkara mudah untuk saya memandu ke arah jalan yang diredhai. Dengan menyandang gelaran itu, saya tidak boleh berangan-angan lagi.
"Ini kerana sebagai insan yang diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab itu, saya perlu memahat dalam hati dengan kata hikmat pengorbanan.
"Aspek utama untuk berjaya adalah pengorbanan. Terus-terang, saya sudah menjadikan ayat ini sebagai rutin dan kriteria yang paling utama dalam kehidupan seharian saya sebagai pemain bola sepak.
"Bagi saya, setiap pengorbanan perlu diselarikan dengan usaha dalam mengejar gelaran juara. Bukan saja juara di mata dunia tetapi juara di hati insan yang disayangi iaitu ayah dan bonda. Dari pengorbanan yang saya zahirkan ini, saya perlu berhijrah ke arah lebih positif dengan meninggalkan segala larangan serta mengganggap pengalaman yang dilusuri selama ini sebagai satu pendidikan yang paling mujarab.
"Di sebalik kejayaan yang dikecapi saya bersama skuad bola sepak negara di Sukan Sea, adalah satu kemenangan bersama. Kemenangan ini bukanlah milik kami sekumpulan saja tetapi ia adalah milik mutlak seluruh warganegara Malaysia.
"Kemenangan yang dianugerahkan kepada kami tidak akan diperolehi tanpa sokongan padu dan doa restu dari seluruh pelusuk tanahair. Sungguhpun kami terpaksa renangi pelbagai dugaan dan cabaran sepanjang berada di negara bukan tempat kelahiran kami, tapi hakikatnya kami ibarat tentera yang berjuang demi menaikan martabat kemajuan sukan Malaysia sebaris dengan nama negara lain yang sudah harum di mata dunia.
"Perjuangan kami belum berakhir dan kami perlu meneruskan perjuangan ini selagi kami diberi mandat untuk memikul tugasan ini. Apapun, setiap apa yang diharungi, sama ada positif atau pun negatif, saya menganggapnya sebagai satu didikan untuk lebih bijak bertindak selain mematangkan saya.
"Hanya lafaz maaf mampu saya lahirkan kiranya apa yang berlaku selama ini adalah kesilapan saya sebagai insan yang lemah. Saya tidak boleh lalai dan saya tahu ia adalah rasa ambil berat masyarakat terhadap diri saya yang telah melabelkan saya sebagai Hero Malaya.
"Bukan mudah untuk diri saya yang kerdil ini menyandang gelaran besar itu. Saya tahu, ia bukan satu kesukaran buat diri saya seorang saja, tapi juga berat bagi rakan sepasukan saya yang lain. Kalau boleh, saya mengharapkan dorongan dan sokongan yang diberikan kepada kami semua tidak akan pernah putus.
"Sokongan ini harus dikekalkan sampai bila-bila walaupun pada masa akan datang individu yang bermain dalam pasukan negara ajab silih berganti.
"Andaikata kami rebah, sahutlah kami dengan minda yang terbuka. Jatuh bangun kami bukan pada diri kami saja. Hebat macam mana individu itu, dia tidak akan menerima kejayaan sekiranya faktor sekeliling tidak menerimanya.
"Insya-Allah, demi membalas jasa baik dari sokongan 1Malaysia, saya akan terus mencipta kemenangan. Adalah lebih baik tercipta kemenangan dengan ada rekod baru dan tercipta sejarah. Saya juga sedang mencari ruang dan masa untuk meluangkan masa bersama mereka yang sudah lama menyokong saya dan rakan sepasukan saya yang lain.
"Jika tiada arah melintang, saya akan mengadakan satu majlis kesyukuran bersama anak yatim dalam masa terdekat. Bila dan di mana, saya akan beritahu kelak. Sekali lagi, terima kasih kerana merealisasikan impian kami mengharumkan nama negara dengan tidak putus memberi sokongan. Saya memerlukan anda semua untuk terus berjaya."

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...