Friday 25 November 2011

Kisah Perkahwinan Zahiril, Shera


KEMUNCAK percintaan yang disemai selama 18 bulan akhirnya terpateri apabila pasangan merpati dua sejoli ini memilih 20.11.2011 sebagai tarikh keramat memeterai ikatan perkahwinan.







Hubungan cinta yang bermula saat perkenalan ketika sama-sama membintangi drama Ada Sesuatu Yang Tertinggal berakhir manis bagi pasangan secocok, Zahiril Adzim Mohd. Mukhtar, 27, dan Shera Aiyob, 25.
Menerima mas kahwin RM1,001 dan hantaran RM18,000, Shera atau nama sebenarnya, Nur Syahira tidak dapat menahan manik-manik air matanya daripada bercucuran sebagai tanda kesyukuran ketika di pelamin.
Malahan, perasan yang sama turut dirasai ibu Shera, Nor Asman Mohd. Ali, 50, saat melihat Zahiril menggenggam tangan suaminya, Aiyob Shaharuddin, 53, yang menikahkan sendiri puteri sulung mereka.
Peristiwa bersejarah bagi pasangan tersebut diadakan di kediaman pengantin perempuan di Taman Tasek Indra, Ipoh, Perak, baru-baru ini sambil disaksikan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Ipoh, Yusri Abdul Rani.
Sejurus menyarungkan cincin emas putih ke jari manis Shera, Zahiril yang tidak lekang mengukir senyuman secara spontan menyeka air mata yang masih tersisa di anak mata isterinya seraya mengucup dahi wanita yang kini bergelar isterinya.
"Syukur hasrat saya untuk memperisterikan Shera tertunai sudah. Selama ini saya mendambakan seorang wanita yang tidak pura-pura dan sentiasa menjadi diri sendiri walau dalam apa keadaan sekalipun.
"Sebagaimana ketika dia masih anak dara, itulah juga peribadi yang bakal dibawanya selepas berumah tangga. Alhamdulillah, saya yakin ciri-ciri itu ada pada isteri saya," tutur Zahiril
Bagi Shera pula, di matanya Zahiril seorang lelaki yang mementingkan hubungan kekeluargaan dan yakin suaminya itu mampu membimbingnya ke arah membina keluarga yang direstui dan diberkati Ilahi.
"Dia seorang yang penyayang, kelakar dan sentiasa 'manis' di mata saya. Paling membuatkan saya cair ialah sifatnya yang romantis.
"Sebagaimana puitisnya dia dalam nukilan buku pertamanya Bogel Menuju Tuhan, begitulah dia meluahkan rasa cinta dan bahagianya bersama saya," luah anak sulung daripada tiga beradik itu.
Terdahulu rombongan hero drama popular Juvana itu yang disertai hampir 50 orang sanak-saudara dan kenalan, disambut meriah setibanya mereka di hadapan rumah pengantin perempuan.
Anak keempat daripada lima adik beradik itu turut ditemani kedua ibu bapanya, Mohd. Mukthar Ibrahim, 61, dan Zailan Yussof, 54.
Mereka membawa 11 dulang hantaran yang antara lainnya, tepak sirih, al-Quran digital, rantai mutiara, gajet Ipad 2, beg tangan, sejadah, telekung, kasut wanita, jam tangan dan set wangian badan.
Namun yang paling istimewa yang turut dibawa bersama ialah naskhah sulung buku genre motivasi perkahwinan Anai-Anai Dalam Perkahwinan hasil nukilan ibu Zahiril sendiri.
Dalam pada itu, Shera membalas hantaran pengantin lelaki, juga dengan 11 dulang. Antaranya, telefon pintar Blackberry, al-Quran, set pewangi, kasut, buku bimbingan agama dan kek cawan.
Tiga jam selepas pasangan itu dinikahkan, mereka berangkat ke Dewan Perdana Kinding Hill, Bercham Height yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah keluarga Shera bagi majlis persandingan.
Majlis yang bertemakan perkahwinan ala Inggeris dengan alunan warna krim, putih dan hijau itu dimeriahkan dengan kehadiran hampir 3,000 tetamu.
Antara rakan artis yang hadir pada majlis persandingan ialah Bront Palarae, Beto Khusairy, Azhan Rani, Intan Nor Saina, Zain dan penyampai radio Hot FM, Ikhwan.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...